KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang ketika operasi pengosongan Kampung Sungai Baru, tahun lepas.
Zaharudin, 49, bersama tujuh individu lain didakwa menyertai perhimpunan itu bagi menentang proses notis pengosongan meskipun mengetahui arahan supaya ia bersurai telah dikeluarkan.
Menantu kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara 10.50 hingga 11.14 pagi pada 11 Sept 2025 mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam Latheefa Koya memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 24 Feb ini untuk sebutan kes.
Terdahulu, Latheefa memaklumkan Zaharudin telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 31 Dis lepas bagi memperoleh deklarasi bahawa Sesyen 145 Kanun Keseksaan yang digunakan terhadapnya adalah bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial