KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard tampil membuat laporan rasmi berhubung dakwaannya mengenai seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata agensi itu akan menyiasat sebarang dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa sekiranya disokong oleh maklumat dan bukti yang sahih.
Azam bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi atau bukti dokumentasi berkaitan perkara tersebut.
“Semua siasatan SPRM dijalankan secara bebas dan profesional, serta berasaskan fakta dan bukti semata-mata,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Badrul Hisham mendakwa hasil semakan dokumen forensik yang diterimanya secara tanpa nama menunjukkan terdapat kemasukan wang secara bulanan dalam jumlah puluhan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai kanan tentera berkenaan dan ahli keluarganya.
Pada kira-kira 1 tengah hari tadi, Chegubard hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi mengemukakan laporan polis berhubung dakwaan itu dan selesai memberikan keterangan kira-kira 4.30 petang tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial