Kes Penipuan Tawaran Kerja Meningkat 146 Peratus, Kerugian Lebih RM200 Juta

19/12/2025 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak 8,484 kes penipuan tawaran pekerjaan sambilan direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 14 Dis tahun ini melibatkan kerugian RM202.58 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan hari ini, berkata jumlah itu meningkat 146 peratus atau 5,033 kes berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan 3,451 kes. 

Jumlah kerugian juga meningkat kira-kira 70 peratus berbanding RM118.83 juta pada 2024.

“Peningkatan ini menunjukkan jenayah penipuan itu bukan sahaja semakin berleluasa malah memberi kesan kewangan besar kepada mangsa.

“Sindiket lazimnya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat sebelum mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan ke akaun keldai,” katanya.

Rusdi berkata tiada majikan yang sah akan meminta sebarang bayaran pendahuluan daripada calon bagi mendapatkan pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali dan membuat laporan polis segera jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

“Mereka juga disarankan segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan awal untuk membolehkan pihak berkuasa mengesan dan membekukan aliran kewangan terlibat,” katanya.

Beliau berkata JSJK akan terus mempergiat usaha pencegahan, siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah itu secara menyeluruh.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan