PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan berlaku penyalahgunaan nombor MyKad milik arwah bapa seorang individu seperti tular di media sosial termasuk dakwaan ia melibatkan warga asing.
JPN dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semakan terperinci mendapati dua individu yang dirujuk dalam paparan itu merupakan warganegara Malaysia dengan mereka mempunyai nombor MyKad berbeza.
“Semakan juga mendapati tiada sebarang unsur penyalahgunaan identiti, pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah atau penglibatan warga asing seperti didakwa,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial oleh seorang individu mendakwa nombor MyKad milik arwah bapanya digunakan oleh warga asing.
Hantaran itu memaparkan dua nama berlainan dipaparkan ketika semakan Maklumat Wang Tidak Dituntut pada portal eGUMIS milik Bahagian Wang Tidak Dituntut (BWTD) Jabatan Akauntan Negara.
Sehubungan itu, JPN mengesahkan nombor MyKad milik arwah bapa individu itu sah dan kekal didaftarkan atas nama arwah dengan waris boleh membuat pengesahan rasmi di mana-mana pejabat JPN.
JPN memaklumkan semakan silang juga telah dilakukan bagi memastikan ketepatan maklumat itu dan pengadu dinasihatkan merujuk terus kepada BWTD bagi membuat pengesahan dan tuntutan selaras dengan prosedur ditetapkan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi, tuduhan tidak berasas atau menyebarkan maklumat belum disahkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan awam,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial