Jurukimpal Kontrak Dipenjara Tiga Tahun Kendali Wang Anggota Daesh

16/12/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Seorang jurukimpal kontrak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengendalikan wang anggota kumpulan Daesh, 10 tahun lepas. 

Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zairul Mahmud, 40, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Zairul didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta seorang pengganas, dengan cara membenarkan kemasukan wang sebanyak RM10,000 dan pengeluaran sebanyak RM6,000 daripada akaun bank milik tertuduh untuk manfaat pengganas terbabit.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, antara 25 Feb 2015 hingga 8 Mei 2015, mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda dan boleh dirampas apa-apa harta yang dikendalikan itu.

Berdasarkan fakta kes, bertindak atas satu laporan polis, sepasukan anggota polis dari Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di sebuah premis di Masai, Johor kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pembiayaan keganasan.

Hasil siasatan oleh pegawai penyiasat mendapati tertuduh telah mengendalikan harta pengganas melalui beberapa transaksi daripada akaun banknya antara 25 Feb 2015 hingga 8 Mei 2015 melalui perkhidmatan ejen pengiriman wang kepada seorang lelaki yang terlibat dengan kumpulan Daesh.

Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Mohd Zairul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah.

"Saya menyesal dengan perbuatan saya, saya mohon hukuman ringan demi keluarga saya," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan