GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pengurus sebuah syarikat swasta kerugian RM2.54 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon menyamar sebagai pegawai siber sekuriti dalam kejadian di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 54 tahun itu membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Ahad lepas selepas menyedari menjadi mangsa penipuan.
“Pada 21 Feb lepas semasa berada di rumahnya di George Town, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai siber sekuriti yang memaklumkan terdapat 16 aduan terhadap nombor telefon mangsa yang dikatakan terlibat dalam kes tipu pelaburan serta penyebaran maklumat palsu.
“Mangsa yang menafikan perkara itu diminta membuat laporan polis secara dalam talian dan panggilan itu kononnya disambungkan kepada seorang pegawai polis daripada Bukit Aman. Suspek yang menyoal siasat mangsa memberitahu beliau juga disyaki terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram serta pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek yang mengaku sebagai pegawai polis mendakwa waran tangkap dikeluarkan ke atas mangsa dan meminta beliau mengikut semua arahan yang diberikan untuk tujuan siasatan jika tidak mahu ditahan.
Azizie memaklumkan suspek kemudiannya meminta mangsa membuka tiga akaun bank berbeza dan meletakkan kad ATM bersama nombor pin dalam satu sampul sebelum meletakkannya di bawah pasu di hadapan rumah lelaki itu dan suspek berjanji wang serta kad ATM akan dipulangkan selepas siasatan selesai.
“Bermula 4 Mac hingga 22 Sept lepas, mangsa membuat pindahan wang sebanyak 12 kali ke dalam tiga akaun bank yang baru dibuka itu dan suspek meminta lelaki berkenaan membuat bayaran tambahan tetapi dia telah kehabisan wang pada 13 Dis,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial