Warga Emas Maut Dilanggar Tiga Kenderaan Di Lebuhraya SPDH

12/12/2025 01:42 PM

PORT DICKSON, 12 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun maut selepas dilanggar tiga kenderaan dalam insiden di Kilometer 29 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Maslan Udin berkata mangsa menunggang motosikal jenis SYM BX110 dari arah Seremban menuju ke Port Dickson sebelum dilanggar sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah belakang pada 6.15 pagi.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar dua lagi kenderaan iaitu Nissan Grand Livina yang dipandu wanita berusia 32 tahun dan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 36 tahun, yang datang dari arah sama.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayatnya kemudian di bawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Maslan berkata semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Senawang bagi pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan