BUKIT MERTAJAM, 12 Dis (Bernama) -- Lelaki yang menyerah diri selepas mengaku membunuh isterinya beberapa hari lepas di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, Seberang Jaya, di sini, semalam direman selama tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata perintah reman dibenarkan Majistret Mahkamah Bukit Mertajam bermula dari hari ini hingga 18 Dis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pihaknya telah menerima maklumat daripada seorang lelaki pada 11.30 pagi semalam, mengaku telah membunuh isterinya di rumah mereka.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT telah ke lokasi dan mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring, lengkap berpakaian di atas tilam di dalam sebuah bilik tidur dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lepas.
“Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang menjalankan siasatan di lokasi telah mengambil beberapa sampel berkaitan kejadian selain menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Helmi berkata motif kejadian setakat ini masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Beliau memohon saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit supaya tampil ke IPD SPT atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut selepas suspek berumur 28 tahun itu menyerah diri dan mengaku membunuh isterinya empat hari lepas di Seberang Jaya, di sini.
Mangsa, 44, yang merupakan ibu tunggal kepada lima anak berkahwin dengan suspek dua tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial