KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Seorang penjual sate dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pekerjanya iaitu seorang lelaki warga Indonesia yang mayatnya dijumpai di tepi Jalan Lumba Kuda di sini, bulan lepas.
Tan Seng Hiang, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Sumarno di Jalan Lumba Kuda, Jalan Penrissen Lama di sini antara 1.47 pagi dan 2.37 pagi 25 Nov lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menetapkan 27 Jan tahun depan untuk sebutan kes.
Di Mahkamah Majistret berasingan, Lim Hiong Hiap, 60, yang juga pemilik premis di Jalan Sekama di mana Tan mengusahakan gerai satenya, turut didakwa atas pertuduhan mengubah bukti dengan mengarahkan seorang lagi individu untuk memadam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Lim, yang mengaku tidak bersalah, didakwa mengarahkan Goh Moh Seng memadam rakaman CCTV itu di Culture Inn yang terletak bersebelahan premisnya pada 1 pagi 25 Nov lepas mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Ling Hui Chuan membenarkan Lim diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jan tahun depan untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly dan Ahmad Fauzulutfi Suriani manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Daniel Ling.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial