SEREMBAN, 2 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengambil tindakan ke atas 11,241 kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Kenderaan Perdagangan bagi tempoh Januari hingga 29 Nov lepas.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata sepanjang tempoh berkenaan menyaksikan 44,964 kenderaan diperiksa dan 34,848 notis dikeluarkan.
"Tindakan diambil termasuk pengeluaran notis, denda atau arahan periksa untuk memperbaiki kesalahan yang dikesan.
"Pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan secara aktif setiap hari bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan khususnya membabitkan kenderaan berat," katanya pada sidang media OPS Perang Lebih Muatan di Jalan Labu di sini hari ini.
Hanif berkata sepanjang OPS Perang Lebih Muatan dilaksanakan sejak Okt lepas, sebanyak 7,492 kenderaan perdagangan telah diperiksa dan 1,389 notis dikeluarkan.
"Sembilan kenderaan diambil tindakan sita di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kini dalam proses permohonan lucut hak dari mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial