Seorang Maut, Tujuh Cedera Parah Van Kilang Terbabas

01/12/2025 09:53 AM

GEORGE TOWN, 1 Dis (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala tujuh lagi cedera parah selepas van kilang yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan di Jalan Mount Erskine di sini awal pagi tadi.

Enam mangsa yang cedera parah juga adalah wanita dan berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun.

Seorang lelaki, iaitu pemandu lelaki van berkenaan, turut mengalami kecederaan parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.59 pagi sebelum ke lokasi kemalangan.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba berdepan detik cemas apabila mendapati empat daripada lapan mangsa yang berada dalam van kilang itu tersepit di dalam remukan kenderaan tersebut.

"Pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dibantu BBP Lebuh Pantai menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit sebelum semuanya berjaya dikeluarkan pada 7.17 pagi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang daripada mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala tujuh lagi, yang juga cedera parah, dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan