Empat Ditahan Cetus Kekecohan Pada Majlis Pecah Tanah Di Kampung Sungai Baru

30/11/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Polis menahan empat individu termasuk aktivis Rafidah Ibrahim yang dipercayai cuba mencetuskan kekecohan semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berumur antara 39 hingga 47 tahun, ditahan kira-kira 8.50 pagi di sekitar kawasan majlis berkenaan.

"Semasa ditahan, keempat-empat individu terbabit sedang menjerit-jerit sehingga mendatangkan kacau ganggu dan memecahkan keamanan ketika penugasan kawalan keselamatan sedang dijalankan pada majlis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fadil, penahanan itu dibuat sebagai langkah pencegahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah kerana mereka disyaki menjadi dalang mengajak orang ramai hadir untuk membuat protes pada majlis berkenaan.

Beliau berkata seruan untuk berhimpun itu dipercayai dimuat naik melalui akaun TikTok Rafidah pada Jumaat lepas.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap kesemua yang ditahan berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan