Op Sapu: Imigresen Tahan 74 Pendatang Asing Di Senai

26/11/2025 08:45 PM

JOHOR BAHRU, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 74 pendatang tanpa izin termasuk bayi lelaki dalam serbuan menerusi Op Sapu di 10 rumah di Taman Senai Baru di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 53 lelaki dan 21 wanita membabitkan warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh berusia lingkungan dua bulan hingga 47 tahun. 

Beliau berkata serbuan melibatkan 40 pegawai dan anggota penguat kuasa pada 12.45 tengah malam itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan di semua kediaman dua tingkat terbabit.

"Ketika operasi dijalankan, mereka sedang berehat di dalam rumah yang dijadikan tempat tinggal dan ada yang cuba melarikan diri serta bersembunyi, namun berjaya diberkas," katanya dalam kenyataan hari ini.  

Mohd Rusdi berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan