KLANG, 25 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dengan melanggarnya menggunakan kereta, dua minggu lepas.
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar memerintahkan Mohammad Arif Selamat, 33, menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 13 Nov lepas selain 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa memandu kereta sehingga menyebabkan anggota polis lelaki terbabit terheret dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian, di sebuah stesen minyak di Klang, kira-kira 3 petang pada 12 Nov.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mohammad Arif yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu dan bapanya berusia 61 tahun yang mempunyai masalah sakit jantung.
Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi memohon hukuman berat bagi mengambil kira keseriusan kes itu yang tular melalui media sosial, selain menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah di Taman Sri Andalas di sini telah terserempak dengan sebuah kereta disyaki terlibat kes samun sebelum mengekori kenderaan itu ke sebuah stesen minyak.
Mangsa kemudian cuba menahan pemandu kereta terbabit, namun semasa proses tangkapan, Mohammad Arif bertindak agresif dengan menolak anggota polis berkenaan.
Lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan memecut kereta sehingga mengheret mangsa dan hampir menggilis kakinya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial