Tiga Penjenayah Ditembak Mati Selepas Cederakan Anggota Polis 

24/11/2025 01:53 PM

MELAKA, 24 Nov (Bernama) -- Tiga penjenayah ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang sawit Durian Tunggal, Alor Gajah, pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an, cedera parah di lengan kiri.

“Kesemua suspek lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis sebelum terserempak pasukan polis yang menjalankan Op Casa Melaka.

“Semasa cubaan menahan penjenayah itu, seorang suspek bertindak agresif dengan melibas parang terhadap anggota polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap ketiga-tiga suspek bagi mempertahankan diri.

Beliau berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan, dua daripadanya berusia 29 dan 24 tahun, manakala seorang lagi masih dikenal pasti kerana tidak membawa kad pengenalan.

“Geng Durian Tunggal aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta. Suspek 29 tahun mempunyai 39 rekod jenayah lampau, manakala suspek 24 tahun mempunyai 12 rekod lampau,” katanya.

Modus operandi geng ini ialah memarkir kenderaan dalam ladang kelapa sawit dan berjalan kaki sebelum menyamun rumah, kedai, dan kilang.

Beliau berkata polis merampas tiga bilah parang, satu pemotong jeriji, tiga topeng muka dan tiga pasang sarung tangan, manakala anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Melaka.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Op Casa Melaka dilaksanakan sejak sebulan lalu susulan peningkatan kes samun di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan