NG MERS 999: Jawatankuasa Khas Bersama Kementerian Komunikasi, KKM Ditubuh Pantau Keberkesanan

21/11/2025 07:57 PM

PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Satu Jawatankuasa Khas Bersama melibatkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan dan kestabilan platform baharu Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).

Dalam kenyataan bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kedua-dua menteri berkata fungsi jawatankuasa itu termasuk meneliti isu teknikal dan pengoperasian, memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kecemasan serta menyediakan laporan mingguan kepada Jemaah Menteri.

“Kedua-dua menteri juga telah meninjau Pusat Kawalan NG MERS 999 pada hari ini. Sejak sistem NG MERS 999 mula beroperasi hingga 12 tengah hari tadi, NG MERS 999 telah menerima 323,957 panggilan yang dikendalikan oleh 170 pegawai kecemasan profesional di 1,302 stesen kerja. 

“95 peratus panggilan diproses dalam masa lapan saat. Pusat Sokongan Teknikal 24 jam juga tersedia di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan apabila diperlukan,” menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu memaklumkan KKM sedang melaksanakan pelarasan proses kerja sementara bagi memastikan respons klinikal dan perubatan kekal berada pada tahap optimum.

“Pelarasan proses kerja hanya melibatkan aliran kerja dalaman bagi pengurusan panggilan kecemasan perubatan di bawah KKM. 

“Melalui penyesuaian tersebut, proses pengaktifan ambulans dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mengikut proses kerja yang telah terbukti stabil sebelum integrasi penuh dibuat,” menurut kenyataan itu dengan menambah perkara itu telah diambil maklum dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Sistem NG MERS 999 kekal beroperasi sepenuhnya sebagai platform kecemasan nasional dan semua agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus berfungsi melalui sistem tersebut tanpa sebarang perubahan, manakala Response Centre (RC) 999 akan terus menerima panggilan melalui NG MERS 999. 

“Pusat Penyelarasan Kecemasan Perubatan (MECC) kekal sebagai sebahagian daripada ekosistem NG MERS 999 serta menyelaras panggilan yang memerlukan penglibatan agensi lain melalui pusat kawalan NG MERS 999,” menurut kenyataan itu.

NG MERS 999 mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Nov 2025 sebagai kesinambungan sistem MERS 999 yang mula digunakan pada 2007.

NG MERS 999 dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas kecemasan negara melalui rangkaian komunikasi yang lebih pantas, tepat, moden dan inklusif. 

NG MERS 999 kini merangkumi 837 lokasi operasi dengan anggaran kos operasi tahunan sekitar RM113 juta, selaras dengan peluasan capaian, peningkatan keupayaan infrastruktur, integrasi antara agensi dan keperluan keselamatan siber yang lebih tinggi.

“Sistem ini merupakan komponen penting dalam penyampaian perkhidmatan kecemasan negara yang melibatkan lima agensi utama iaitu PDRM, JBPM, APM, APMM dan KKM,” menurut kenyataan itu.

Terdapat dua aplikasi yang dibangunkan bagi menyokong sistem NG MERS 999, iaitu SaveME999 (untuk orang awam) dan Responder App (untuk responder).

Nilai langganan perkhidmatan kedua-dua aplikasi itu ialah RM880,000 iaitu 0.78 peratus daripada kos operasi tahunan, yang turut merangkumi perkhidmatan pangkalan data.

Aplikasi SaveME999 yang dibangunkan pada 2013 kini menggabungkan tiga aplikasi sedia ada iaitu SaveMEBlind, SaveMEDeaf dan SaveMEPolice. 

Aplikasi itu digunakan khusus bagi tujuan penghantaran lokasi dan maklumat kecemasan secara digital, serta kekal berfungsi sebagai saluran tambahan dalam ekosistem NG MERS 999. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan