Banduan Ditahan Kurang 12 Jam Lari Dari Penjara

20/11/2025 10:40 PM

SRI AMAN, 20 Nov (Bernama) -- Polis berjaya menahan seorang banduan lelaki yang melarikan diri dari Penjara Pusat Sri Aman dalam tempoh kurang 12 jam selepas insiden itu dilaporkan, hasil kerjasama orang awam dan tindakan pantas pasukan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyam berkata kejadian berlaku kira-kira 7.15 pagi apabila banduan berusia 39 tahun itu dilaporkan meloloskan diri daripada kawalan pihak penjara.

Beliau berkata sejurus menerima laporan, polis melancarkan operasi memburu banduan berkenaan dengan menggerakkan aset dan anggota di kawasan sekitar Sri Aman termasuk jalan kampung, kawasan ladang serta penempatan berhampiran.

“Hasil maklumat awam yang disalurkan kepada polis, pasukan operasi berjaya mengesan suspek dan menahannya kira-kira 6.20 petang di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Jalan Brayun, dua kilometer dari Penjara Pusat Sri Aman,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata keadaan struktur rumah terbabit yang belum siap dipercayai dijadikan tempat persembunyian sementara oleh suspek, sebelum dihampiri dan ditahan oleh pasukan polis tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Pihak Polis Diraja Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan serta komitmen pasukan keselamatan yang memastikan banduan berkenaan ditahan semula dalam tempoh singkat,” katanya.

Dennis berkata kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan polis akan memohon reman terhadap suspek bagi membantu siasatan lanjut.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan