MUKAH, 20 Nov (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki dalam siri serbuan Op Tapis Khas di sekitar Mukah semalam dalam usaha drastik berterusan membasmi aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun di hadapan sebuah hotel bajet di Jalan Boulevard Setiaraja kira-kira 1 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu keratan tiub straw lut sinar dan satu peket plastik berisi ketulan kristal dipercayai dadah methamphetamine seberat 1.14 gram bernilai kira-kira RM200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki yang bekerja sebagai buruh itu didapati positif terhadap methamphetamine serta amphetamine dan dia direman hingga Isnin ini bagi siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam tangkapan kedua, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun diberkas di Simpang Tiga Jalan Ladang Sawit, Jalan Mukah-Selangau kira-kira 12.50 tengah hari.
“Pemeriksaan menjumpai satu keratan tiub lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai methamphetamine seberat 0.30 gram dianggar bernilai RM150,” katanya.
Muhamad Rizal berkata lelaki terbabit didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta direman empat hari.
Beliau berkata seorang lagi lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan di lokasi sama 10 minit kemudian dan polis merampas 0.11 gram methamphetamine bernilai RM110 daripadanya.
Lelaki terbabit bagaimanapun negatif dadah dan kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial