AKPS Tahan Tiga Lelaki Jepun Cuba Seludup Masuk 12kg Kokain

19/11/2025 06:13 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan tiga lelaki warga Jepun semalam, kerana disyaki cuba menyeludup masuk dadah dipercayai kokain seberat 12 kilogram dianggarkan bernilai RM2.4 juta.

AKPS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semua lelaki itu baru tiba dari Bangkok, Thailand melalui penerbangan MH0781.

“Kejadian berlaku pada 1.45 pagi di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, apabila pegawai AKPS mengesan imej mencurigakan melalui mesin imbasan bagasi.

“Semasa pemeriksaan fizikal ke atas satu daripada enam bagasi dan beberapa beg galas, pegawai menemukan bahan dipercayai kokain diselindungkan dengan menutup bungkusan menggunakan ikan bilis dan udang kering serta dibungkus secara vakum,” menurut AKPS.

Pemeriksaan keseluruhan mengesahkan semua enam bagasi itu mengandungi dadah jenis kokain yang menggunakan kaedah penyamaran sama.

AKPS memaklumkan kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes diserahkan kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan