PETALING JAYA, 17 Nov (Bernama) -- Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang jurujual wanita yang mayatnya ditemukan tidak berpakaian dengan keadaan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan pada akhir Oktober lepas.
Pegawai teknologi maklumat K.Kaarthiek, 26, dan pemandu lori A.Hariprasanth, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Saraswathy Chan Chee Keong, 24, di Jalan Orkid berhampiran Bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan antara 6.18 petang 24 Okt 2025 hingga 2.17 pagi pada 25 Okt 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun, dan sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dihukum gantung.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui manakala peguam Sivahnanthan Ragava mewakili Kaarthiek, dan Hariprasanth diwakili peguam Kailash Sharma serta Datin Raj Preet Kaur.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 16 Jan ini untuk laporan kimia dan bedah siasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial