SHAH ALAM, 16 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga Nepal kerana disyaki meliwat seekor kucing sebelum dicampak dari aras empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, tengah malam 15 Nov lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Anak Embol berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang penghuni pangsapuri berkenaan pada 12.30 tengah malam selepas dia bersama suaminya melihat suspek dalam keadaan bogel dipercayai sedang meliwat seekor kucing.
“Pengadu bersama suaminya yang baru tiba di kediaman mereka terlihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dari dalam kereta. Suami pengadu kemudian naik ke aras empat untuk menegur tindakan suspek.
“Bagaimanapun suspek bertindak mencampak kucing tersebut ke bawah sebelum melarikan diri. Kejadian turut dirakam pengadu menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata susulan maklumat itu, polis telah menahan lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan pada 4.45 pagi hari sama.
Beliau berkata kes disiasat dibawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana kesalahan persetubuhan luar tabii dengan haiwan yang membawa hukuman penjara dua puluh tahun dan denda atau sebat.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Suspek direman lima hari bermula 15 hingga 19 Nov bagi membantu siasatan,” katanya dan menambah mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 0111-695 8529,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial