Polis Selangor Sangkal Dakwaan Jual, Lepas Semula Dadah Dirampas Ke Pasaran

14/11/2025 04:14 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Polis Selangor menyangkal dakwaan tidak berasas kononnya menjual semula atau melepaskan dadah dirampas ke pasaran.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dakwaan seumpama itu boleh menjejaskan imej pihak berkuasa yang sentiasa komited memerangi dadah.

“Sebagaimana diketahui umum, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor melaksanakan pelupusan barang kes dadah setiap tahun mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan bagi kes yang selesai di mahkamah.

“Semua dadah dirampas diuruskan dengan penuh ketelitian, bertanggungjawab dan integriti berlandaskan kepada prosedur siasatan serta peruntukan undang-undang sedia ada," katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah dan kertas siasatan JSJN Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata setiap gram dadah dirampas direkodkan dan akan dipersoalkan semasa proses perbicaraan di mahkamah.

Shazeli berkata komitmen memerangi dadah dibuktikan dengan pihaknya melupuskan sebanyak 596.2 kilogram (kg) dan 2,744 liter campuran dadah yang telah selesai kes mahkamah bagi tempoh 2022 hingga 2025.

"Dadah dilupuskan meliputi ganja, syabu, serbuk ekstasi, daun ketum, MDMA, heroin, serbuk disyaki dadah, erimin 5, ketamin, pil ekstasi, cecair disyaki dadah, air ketum dan kodein, dengan nilai keseluruhan RM10.3 juta.

"Selain itu, sebanyak 12,178 kertas siasatan berkaitan dadah bagi tempoh 1995 hingga 2019 turut dilupuskan sebagai langkah pengurusan rekod yang lebih teratur dan patuh," katanya.

Beliau berkata kesemua dadah akan dihantar ke tapak pelupusan dadah melalui syarikat yang dilantik oleh kerajaan iaitu Cenviro Sdn Bhd bertempat di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Shazeli berkata untuk tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, polis Selangor telah membuka 30,214 kertas siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dengan jumlah tangkapan 34,010 orang.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 775 individu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

"Polis juga melaksanakan tindakan pencegahan mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 iaitu dengan menahan 102 orang yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah sepanjang tahun ini.

"Bagi kesalahan penagih dadah berulang, 983 orang dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) hukuman mengikut Seksyen 39C (1) ADB 1952," katanya.

Shazeli berkata dalam usaha melumpuhkan rangkaian sindiket dadah secara habis-habisan, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai jenis aset serta sumber kewangan yang dianggarkan berlilai RM18.32 juta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan