TUMPAT, 13 Nov (Bernama) -- Sebanyak 116 individu termasuk 52 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa kerana cuba menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand secara haram melalui Sungai Golok sejak 1 Disember tahun lepas hingga Oktober tahun ini.
Pemangku Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) ACP Ijid Landu Binju berkata tangkapan dilakukan dalam operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi tumpuan sepanjang sempadan negara di Tumpat dan Pasir Mas.
Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar atau masuk negara melalui laluan yang tidak diwartakan.
“Sejak penguatkuasaan larangan melintasi sempadan secara haram pada Disember lepas, sebanyak 116 tangkapan telah dibuat. Daripada jumlah itu, 52 adalah rakyat tempatan manakala selebihnya terdiri daripada warga Thailand, Myanmar, India, China dan Pakistan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pangkalan haram di sini hari ini.
Ijid berkata PGA telah mengenal pasti tujuh hotspot kegiatan melintas sempadan secara haram, iaitu pangkalan haram Gergaji, Abe Yie, Pohon Jambu, Syed Agil, Tanjong, Kuala Jambu dan Azizah.
"PGA menempatkan anggota secara statik serta memantau kawasan berkenaan untuk menghalang cubaan rentas sempadan tanpa kebenaran.
“Kami sedar masih ada yang berdegil menyeberangi Sungai Golok biarpun larangan telah dikuatkuasakan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Ijid berkata PGA dijangka menerima kenderaan pengangkut perisai (APC) baharu Guardian 4x4 yang akan memperkukuh keupayaan pasukan itu dalam operasi di sempadan serta memberi perlindungan lebih baik kepada anggota.
Beliau berkata APC itu sedang menjalani siri ujian fizikal di beberapa kawasan operasi termasuk Briged Utara dan Martek Op Taring Wawasan Kelantan sebelum diteruskan ke Muar, Johor.
"Ujian bertujuan menilai keberkesanan kenderaan serta keupayaan anggota mengoperasikannya. Setiap APC mampu membawa seorang pemandu, seorang kru serta enam anggota infantri dengan perlindungan daripada tembakan senjata kecil dan ancaman serangan hendap," katanya.
Ijid berkata kenderaan ini meningkatkan moral anggota dan memberi kesan psikologi kepada penjenayah yang cuba menceroboh sempadan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial