SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 1,926 notis saman kerana kesalahan tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dalam Op Perang Lebih Muatan-Kenderaan Berat setakat semalam.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata dalam operasi bermula 14 Okt itu, sebanyak 1,745 saman turut dikeluarkan kerana kesalahan tidak memiliki lesen memandu manakala 1,867 lagi kerana tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Beliau berkata 679 tindakan pula diambil kerana tidak memiliki perlindungan insurans, 747 disebabkan kesalahan lebih muatan manakala 20 kenderaan dikesan membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had dibenarkan.
“Keseluruhannya sebanyak 50,839 kenderaan diperiksa sepanjang Op Perang Lebih Muatan-Kenderaan Berat setakat semalam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor di sini hari ini.
Azrin berkata JPJ Selangor telah menyita sebuah lori yang membawa gegelung keluli kerana pemandunya tidak memiliki GDL dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dalam operasi penyamaran yang dijalankan semalam.
Beliau berkata susulan itu, pihaknya telah membuka kertas siasatan atas kesalahan melanggar syarat lesen pengendali di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan akan membuat permohonan di mahkamah untuk melucutkan hak kenderaan di bawah Seksyen 80 akta yang sama.
Sementara itu, Azrin berkata JPJ akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pemandu mempunyai lesen yang sah selain kompeten khususnya dalam mengendalikan kenderaan berat.
“JPJ Selangor akan terus mempertingkatkan pelaksanaan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial