KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 daripada seorang individu berkaitan kerja rasminya di agensi kerajaan tempatan itu, pada Januari lepas.
Tertuduh, Mohamad Hamim @ Mohamed Kamarudin, 54, yang ketika itu menjawat jawatan Pengarah Eksekutif (Pengurusan) di DBKL didakwa menerima untuk dirinya suatu barang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM50,000 daripada seorang individu yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di DBKL.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku, dekat sini, pada 10 Jan lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Yasri Yahya menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Alif Anuar yang mewakili tertuduh bersama peguam Zeffree Zainudin memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga serta seorang anak kurang upaya.
Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.
"Mahkamah tidak menahan pasport tertuduh tetapi dia perlu membuat laporan secara bertulis kepada mahkamah setiap kali ke luar negara,” katanya.
Mahkamah menetapkan 12 Jan ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial