Lelaki Didakwa Edar Lebih 2 Kg Dadah

05/11/2025 04:32 PM

SIBU, 5 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan mengedar dan mengambil dadah pada 22 Okt lepas.

Moh Mee Hing, 57, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua, namun tiada pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan pertama di hadapan Majistret Romario Jonoi.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2,055.85 gram di sebuah rumah di Lorong 6, Rejang Park, di sini pada kira-kira 11 pagi, 22 Okt.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sekurang-kurangnya 15 sebatan, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Dalam pertuduhan kedua, Moh didakwa mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kira-kira 6 petang tarikh yang sama di Balai Polis Sungai Merah, Jalan Wawasan, di sini.

Dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda hingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun, dan selepas menjalani hukuman, tertuduh boleh diperintahkan menjalani pengawasan antara dua hingga tiga tahun di bawah Seksyen 38B akta sama.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan tertuduh terus direman sementara menunggu laporan Jabatan Kimia siap serta menetapkan 6 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haris Danial Mohamed Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Rosli Gapor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan