AGC Keluarkan Arahan Terbaharu Dalam Siasatan Kes Murid Maut Di Sekolah

04/11/2025 05:05 PM

SEREMBAN, 4 Nov (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan menerima semula kertas siasatan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC), berhubung kes seorang murid tahun empat yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di tandas lelaki sebuah sekolah pada 1 Okt.

Ketua Polis Negeri Datuk Alzafny Ahmad berkata terdapat arahan terbaharu yang perlu diambil tindakan, sebelum kertas siasatan dikembalikan semula kepada AGC. 

“Memandangkan kertas siasatan masih dalam proses dilengkapkan sepenuhnya, dimohon mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alzafny berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini siasatan, sebaik sahaja mendapat arahan daripada AGC.

Hari ini Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan meminta agar semua elemen berkaitan kejadian yang menimpa seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, disiasat secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

KPM memaklumkan pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap kenyataan oleh keluarga murid berkenaan berhubung kejadian tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan seorang murid berusia 10 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolahnya di Senawang sebelum disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan