KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Seramai 15 pelabur yang memenangi kes saman terhadap pengasas bersama MYAirline Sdn Bhd, Datuk Allan Goh Hwan Hua, kini terpaksa memulakan proses undang-undang baharu bagi mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM8 juta, seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Sept lepas.
Seorang daripada 15 pelabur terbabit, A.Prema berkata walaupun keputusan mahkamah memihak kepada mereka, realiti untuk memperoleh semula wang itu jauh lebih mencabar.
"Kami kini berdepan cabaran baharu dan terpaksa memulakan proses undang-undang lain yang rumit dan mahal untuk mendapatkan semula wang kami. Setiap langkah yang diambil memerlukan masa, tenaga dan kos undang-undang yang besar.
"Kebanyakan kami telah kehilangan wang simpanan seumur hidup dan ada yang terpaksa kembali bekerja selepas bersara. Ini merupakan kemenangan kosong selagi wang kami tidak dipulangkan. Keputusan mahkamah sepatutnya menandakan pengakhiran penderitaan mangsa, bukan permulaan babak baharu yang sukar.
"Kami telah membuktikan kes kami di mahkamah dan berharap keadilan bukan sahaja wujud di atas kertas, tetapi terbukti melalui pemulangan wang yang merupakan hak kami" katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili 15 pelabur berkenaan berkata pihaknya telah memulakan prosiding kebankarapan terhadap Goh, selain memohon perintah rampasan terhadap aset milik ahli perniagaan itu.
"Kami memohon agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Goh untuk penipuan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dan menyeru agar Jabatan Peguam Negara memulakan pendakwaan dengan segera terhadap Goh berdasarkan bukti yang kukuh, termasuk keputusan Mahkamah Tinggi terkini.
"Kes ini bukanlah insiden terpencil. Ia mencerminkan kegagalan menyeluruh dalam menangani jenayah kolar putih di Malaysia. Bank Negara Malaysia sebelum ini turut membekukan akaun dan mengenakan kompaun RM50 juta terhadap Kumpulan I-Serve," kata peguam itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept lepas mengarahkan Goh dan empat syarikat yang dikaitkan dengannya memulangkan lebih RM8 juta kepada 15 pelabur selepas gagal membayar penebusan bulanan serta pulangan pembiayaan pelaburan.
Hakim Leong Wai Hong membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif (pelabur) berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Goh dan empat syarikat berkenaan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah memerintahkan defendan memulangkan semula sebanyak RM7.61 juta dan SGD170,000 kepada pelabur, serta membayar kos RM100,000 secara bersama atau berasingan oleh Goh dan defendan lain iaitu I-Serve Online Mall Sdn Bhd (ISOM), Bright Moon Venture PLT (BMV), QA Smart Partnership PLT (QAS) serta Trillion Cove Holdings Bhd (TCH).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial