Imigresen N.sembilan Tahan 23 Pendatang Tanpa Izin Di Sebuah Pangsapuri Di Nilai

01/11/2025 06:33 PM

SEREMBAN, 1 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 23 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan berkaitan undang-undang imigresen dalam operasi di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai di sini malam tadi.

Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua yang ditahan terdiri 12 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki dan dua wanita (India), seorang lelaki (Indonesia) dan seorang lelaki (Pakistan) yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun.

Beliau berkata mereka yang ditahan adalah daripada 299 warga asing yang diperiksa dalam operasi hampir empat jam bermula 11 malam dan tindakan penguatkuasaan itu susulan aduan awam berhubung keberadaan ramai warga asing disyaki tiada pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semasa operasi dijalankan terdapat pendatang asing di tingkat lima pangsapuri tersebut yang mempertaruhkan nyawa melangkah dari rumahnya ke rumah sebelah melalui balkoni untuk meloloskan diri daripada dicekup.

“Selain itu, ada  juga yang menyembunyikan diri di bawah atap genting dan berada di atas tangki air, bagaimanapun kesemua mereka berjaya ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tan menyeru orang ramai supaya tampil membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran pendatang asing di negara ini, selain berkata tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan