KANGAR, 30 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki serta merampas 35 ekor lembu dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa sebarang dokumen pemindahan haiwan ternakan dianggarkan bernilai RM245,000 di Chuping dekat Padang Besar, semalam.
Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata lelaki berusia 23 dan 49 tahun itu ditahan bersama sebuah treler oleh sepasukan anggota Kompeni A, Batalion 1 PGA, Ulu Kinta, Perak yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kilometer (KM) 24 Chuping pada 6 petang.
"PGA menahan dua lelaki itu bersama treler jenis HINO kerana mengesyaki (mereka) memindahkan haiwan ternakan tanpa sebarang dokumen yang sah. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 35 ekor lembu di bahagian belakang treler.
"Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen pemindahan haiwan ternakan dan semua lembu itu disyaki untuk pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini
Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan treler dan lembu itu berjumlah RM645,000.
Shahrum berkata kes itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial