KOTA KINABALU, 27 Okt (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan satu memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini bahawa dia melihat individu memakai baju sukan bertulis Hanafi mengurung diri dalam tandas asrama sekitar pukul 2.35 pagi pada 16 Julai lepas, beberapa jam sebelum Zara Qairina Mahathir ditemukan meninggal dunia.
Keterangan itu diberikan saksi kanak-kanak ke-22, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-28 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli membabitkan Zara berkata keterangan itu penting kerana waktu yang dinyatakan adalah tempoh paling hampir dengan kejadian.
“Semasa saksi bangun untuk mandi kira-kira jam 2.35 pagi — menjadi kebiasaannya mandi awal bagi mengelak kesesakan penggunaan tandas — saksi pergi ke tandas tingkat tiga.
“Saksi ada menolak pintu tandas nombor satu yang sedang tertutup, namun pintu itu kembali tertolak dan seolah ada orang di dalam tandas tersebut yang sedang duduk menyandar di pintu tandas seperti sedang mengurung diri dan memaki baju sukan dengan tulisan 'Hanafi,” kata Goh ketika berkongsi keterangan saksi kepada pemberita selepas prosiding.
Menurut Goh saksi tidak mengecam individu tersebut kerana tidak nampak mukanya, cuma mengecam baju yang dipakai individu terbabit dan kira-kira pukul 3 pagi , ketika saksi hampir selesai mandi, dia mendengar seseorang membuka pintu tandas nombor satu sebelum individu itu keluar.
Sementara itu, peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara memaklumkan saksi berkenaan turut memberitahu mahkamah bahawa beberapa guru pernah memaklumkan kepada pelajar perempuan di musolla sekolah bahawa Zara bukan mangsa buli sebaliknya, meninggal dunia akibat bunuh diri.
"Saksi ditanya 'Adakah cikgu pernah memberitahu bahawa kes Zara bukan kes dibuli tetapi bunuh diri? dan saksi menjawab 'Ya'. Perkataan yang digunakan oleh guru ialah 'dia tidak tahan sudah tu'. Itu yang dikatakan oleh saksi kanak-kanak ini," katanya.
Rizwandean turut memaklumkan saksi pernah melihat pelajar junior diarahkan pelajar senior melakukan pelbagai tugas seperti menyeterika pakaian dan mengambil air panas.
“Saksi memberitahu, biasanya MA (mesyuarat aras) akan diadakan di bilik musollah selepas Maghrib atau Isyak dan dia pernah mendengar pelajar senior mengeluarkan kata-kata kesat semasa mesyuarat itu,” katanya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding Inkues bersambung Selasa ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial