TUMPAT, 25 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan maut selepas disyaki ditetak sepupunya dalam kejadian di Kampung Kok Bedullah di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Shuhairi Hashim, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan pihaknya telah menahan suspek terbabit.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek disahkan positif dadah dan memiliki,” katanya sambil menambah bahawa perincian lanjut berhubung kes berkenaan akan dikeluarkan dalam kenyataan rasmi.
Sementara itu, ibu mangsa Wan Salma Wan Said, 68, berkata dia menemukan anaknya dalam keadaan berlumuran darah berhampiran rumah mereka.
Beliau berkata ketika kejadian dia berada di atas rumah dan sedang bersiap untuk tidur.
“Ketika itu saya terdengar seolah-olah ada orang mengerang kesakitan. Saya segera membuka jendela rumah dan ternampak anak saya terbaring serta mengerang kesakitan dalam keadaan mengerikan.
“Di sebelahnya saya nampak anak saudara saya (suspek) sedang berteriak. Saya tidak pasti apa yang berlaku, namun saya percaya mungkin ada perselisihan faham antara mereka sehingga tercetus kejadian menyayat hati ini,” katanya di Unit Forensik Hospital Tumpat, hari ini.
Wan Salma berkata suspek sebelum itu ada memberitahu bahawa mangsa melakukan sesuatu yang menyakitkan hati dan bersifat peribadi, namun tidak menjelaskan perkara tersebut dengan lebih lanjut sebelum beredar ke rumahnya.
“Selepas itu, saya terus menghubungi seorang lagi anak saya sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang mencuci jengkaut bersendirian sebelum didatangi suspek yang kemudian menetaknya menggunakan senjata tajam yang tidak diketahui jenis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata berdasarkan kepada siasatan awal, dendam lama susulan pertikaian tanah pusaka serta penularan video anak suspek dalam keadaan tidak senonoh, dipercayai menjadi motif lelaki itu ditetak hingga mati.
Beliau berkata dalam kejadian pada 11.20 malam itu, mangsa berusia 46 tahun ditemukan terbaring di hadapan rumahnya dalam keadaan berlumuran darah, serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kanan, manakala tangan kirinya putus dipercayai akibat ditetak menggunakan parang panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata pihaknya telah merampas sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam serangan itu.
Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat DSP Dean Jonathan Jalin menerusi talian 09-7257222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial