Banjir Air Pasang Besar, 50 Mangsa Dipindahkan Di Tanjung Dawai

23/10/2025 10:38 AM

SUNGAI PETANI, 23 Okt (Bernama) -- Sebanyak 50 penduduk Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Cheng akibat banjir air pasang besar, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Amirul Asyraf Mohamad Mayidin berkata PPS dibuka pada 6 petang dan mangsa terdiri daripada 23 keluarga.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Sungai Pial Ahmad Fauzi Othman semasa dihubungi berkata hujan lebat berterusan dari pagi hingga malam tadi memburukkan lagi keadaan. 

“Selain beberapa rumah dilaporkan terancam sejak beberapa bulan lepas, ada lagi yang turut terjejas akibat hakisan pantai dan keadaan lebih teruk selepas dibadai ombak semalam,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata penduduk berada dalam kawasan berisiko diarahkan berpindah ke PPS sejak malam tadi bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Hakisan semakin teruk. Malah ada tembok baru siap juga dilimpahi air dan pagi ini, cuaca masih mendung selain hujan renyai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan