Gelandangan Maut Ditolak Ke Dalam Saluran Air, Rakan Senegara Ditahan

22/10/2025 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kematian rakan senegaranya yang juga gelandangan, ditemukan mati dengan kesan luka di kepala, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang tadi  berhampiran Menara UOA Bangsar di sini.

“Siasatan awal mendapati suspek mengenali mangsa sejak sebulan lalu dan mereka tinggal bersama di bawah jejambat Jalan Bangsar.

“Berlaku pertengkaran antara kedua-duanya malam tadi sebelum suspek menolak mangsa hingga terjatuh ke dalam saluran air di belakang bangunan kedai yang sudah tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya dengan penangkapan lelaki itu,  kes berjaya diselesaikan dalam tempoh sembilan jam selepas mangsa ditemui mati.

Terdahulu media melaporkan mayat seorang lelaki warga asing dengan kecederaan di kepala dipercayai dibunuh ditemukan  pukul 8.03 pagi tadi di Persiaran Ara Kiri, Bangsar, di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan