Op Tapis: 413 Individu Ditahan, Dadah Bernilai RM87,660 Dirampas

17/10/2025 08:55 PM

IPOH, 17 Okt (Bernama) -- Polis menahan 413 individu dalam Op Tapis Khas yang dijalankan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Okt lepas bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di seluruh Perak. 

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari berkata dalam operasi itu pelbagai jenis dadah  dirampas dan operasi itu melibatkan 270 anggota termasuk 28 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kerjasama tujuh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Tumpuan operasi di kawasan Felda, Felcra, ladang swasta, rumah pangsa, dan jeti nelayan yang dikenal pasti sebagai lokasi penagihan.

"Daripada jumlah tangkapan, 53 individu disiasat atas kesalahan mengedar, 128 memiliki dadah, 224 disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tiga lagi ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM87,660 merangkumi 13.7 kilogram (kg) ganja, 2.6 kg heroin, 92.76 gram syabu, 0.004 liter cecair syabu, 3.11 gram ketamin, 89 pil Erimin 5, 35 pil Yaba, 2,000 gram daun ketum dan 22.2 liter cecair ketum.

Selain itu, pihaknya turut menyita empat motosikal, sebuah kereta dan wang tunai bernilai RM24,871. 

Beliau berkata selain warga tempatan, sembilan warga asing dari kemboja, dua dari Thailand, manakala masing-masing seorang dari Indonesia, Nepal dan China turut ditahan. 

Dalam operasi itu, pihaknya turut berjaya menahan dua lelaki dan merampas 13.6 kg ganja bernilai RM37,700 di Taiping selain menemukan 2.3 kg heroin dan 0.6 gram syabu bernilai RM22,917 selepas menahan seorang lelaki di Batu Gajah. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan