Mekanik Didakwa Atas Tuduhan Bunuh Kanak-kanak Tiga Tahun

16/10/2025 01:24 PM

KUCHING, 16 Okt (Bernama) -- Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Kampung Rampangi, Santubong dekat sini, awal bulan ini.

Mohammad Shukri Ryan, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Nurzahieyka Zainuddin di sebuah rumah di Kampung Rampangi, Jalan Sultan Tengah kira-kira 7.45 malam, 7 Okt lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Nursyaheeqa Nazwa menetapkan 21 Nov depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng manakala Mohammad Shukri tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan