KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mencuri puluhan buku dari dua perpustakaan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata suspek berusia lingkungan 50-an diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota polis pada 12.05 tengah malam semalam di sebuah rumah di sini.
Beliau berkata beberapa barang kes turut dirampas termasuk 15 buah buku milik sebuah perpustakaan agensi negeri.
"Tangkapan itu susulan laporan polis oleh seorang lelaki berusia 31 tahun yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penerbitan pada Isnin selepas mendapati beberapa buku milik perpustakaan agensi negeri berkenaan hilang.
“Siasatan mendapati pengadu menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan rakannya mengenai penjualan buku di Facebook yang disyaki dicuri dari perpustakaan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata pemeriksaan kamera litar tertutup mendapati seorang lelaki memasukkan buku ke dalam bajunya sebelum beredar dari lokasi dan suspek direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pada hari sama pada 10.23 pagi, polis menerima satu lagi laporan berhubung kejadian kecurian buku di sebuah perpustakaan swasta di daerah ini.
“Pengadu wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai Pegawai Operasi dan Kebajikan memaklumkan kehilangan beberapa buah buku pada 4 Okt lepas.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku turut terlibat dalam kes berkenaan dan polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam beberapa kes lain membabitkan kecurian bahan bacaan di sekitar Kota Bharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial