Dua Warga Bangladesh Ditemukan Maut Dalam Rumah

15/10/2025 03:42 PM

JASIN, 15 Okt (Bernama) -- Dua buruh binaan warga Bangladesh ditemukan maut di sebuah rumah di Durian Tunggal, Alor Gajah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 31 dan 42 tahun itu merupakan rakan serumah dan bekerja di kawasan berdekatan.

“Mangsa 42 tahun ditemukan terbaring di dapur dalam keadaan berlumuran darah dengan 21 kesan tikaman pada seluruh badan manakala seorang lagi tergantung pada kipas siling di bilik.

“Polis turut menemukan dua pisau dan sebilah parang di lokasi dipercayai berkaitan dengan kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah peribadi dua lelaki tersebut, yang dikaitkan dengan isteri kepada lelaki berusia 31 tahun itu.

Beliau berkata wanita itu merupakan warga Indonesia dan tinggal di rumah sama, namun difahamkan keluar bersama-sama bayi mereka berusia tiga bulan kira-kira dua minggu lepas.

Seorang lagi lelaki Bangladesh berusia 30-an yang turut tinggal di rumah itu menyedari kejadian tersebut selepas pulang dari tempat kerja pada kira-kira 7 malam.

“Jiran juga memaklumkan mendengar bunyi bising dari rumah berkenaan, sebelum kejadian disedari lelaki berkenaan yang mendapati pintu berkunci lalu meminta bantuan jiran dan polis,” katanya.

Dzulkhairi berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan ASP Norehan Omar menerusi talian 06-556 2222 atau di balai polis berhampiran. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan