Penyeludupan: Lebih 10 Lokasi Panas Dikesan Di Sepanjang Pantai Geting

13/10/2025 08:56 PM

TUMPAT, 13 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengenal pasti 10 lokasi panas aktiviti penyeludupan, terutama membabitkan pendatang tanpa izin dan rokok di sepanjang pesisir Pantai Geting di sini.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kawasan pesisir sepanjang lima kilometer berhampiran sempadan Malaysia-Thailand itu menjadi tumpuan penyeludup kerana dikelilingi hutan dan semak tebal yang memudahkan mereka mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Kemasukan barangan seludup dan pendatang biasanya dilakukan pada waktu malam, namun banyak cubaan berjaya digagalkan hasil rondaan berterusan sejak tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Pemantauan Sempadan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pengkalan Kubor, hari ini.

Operasi selama tiga jam itu disertai 27 pegawai dan anggota Maritim Malaysia serta MKN, meliputi kawasan Laut China Selatan, Sungai Golok dan Sungai Geting.

Hadir sama, Pengarah MKN Kelantan Datuk Mohd A Aruwan Abd Aziz.

Erwan Shah berkata penyeludup turut memasang tonto di kawasan pendaratan sekitar Pulau Tengkorak berhampiran Pantai Geting bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.

Beliau berkata Maritim Kelantan juga mencadangkan pemasangan sistem radar Remote Sensored Site (RSS) SWASLA di kawasan Pantai Timur bagi meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.

“Dengan sistem radar ini, lebih mudah mengesan kegiatan jenayah rentas sempadan. Kawasan seluas empat hektar di Pulau Tengkorak turut dikenal pasti sebagai lokasi strategik pembinaan Pos Maritim Pengkalan Kubor,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan