ALOR GAJAH, 12 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal kargo asing yang dikendalikan 11 lelaki warga China dan India kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan barat daya Pulau Undan di sini semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata kapal kargo berkenaan ditahan pada 10.10 malam semalam selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Sistem Pengawasan Maritim Lumut di kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika barat daya Pulau Undan.
“Susulan maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni telah diarahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut dan mendapati terdapat sembilan kru warga China dan dua kru warga India berusia antara 20 hingga 51 tahun dalam kapal berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal kargo tanpa muatan itu dalam perjalanan dari China ke Kuwait disyaki tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dua daripada 11 kru kapal berkenaan yang juga warga China dibawa ke Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial