Imigresen Tahan 24 Pendatang Tanpa Izin Di Ulu Klang

11/10/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 24 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah rumah kedai tiga tingkat yang diubah suai menjadi bilik-bilik kecil di Ulu Klang di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan dilakukan pada 12.15 tengah malam, dengan mereka ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan 11 wanita. 

“Mereka terdiri daripada 18 warga Indonesia, Bangladesh (seorang) dan Nepal (lima orang) dengan kesalahan dilakukan ialah tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah. Semua ditahan dibawa ke JIM Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi,” katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit sah dan permit tamat tempoh.

Bernama yang berada di lokasi serbuan mendapati rumah kedai itu diubah suai kepada bilik kecil untuk disewakan kepada warga asing dan tempatan pada kadar antara RM200 hingga RM400 sebulan.

Ketika serbuan terdapat unit dilihat tidak berpenghuni kerana dikunci dari luar untuk mengelirukan pihak berkuasa, bagaimanapun setelah dibuka terdapat lima lelaki dengan tiga daripadanya memiliki pas kerja tamat tempoh dalam bilik tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan