Permohonan Keluarga Daim Untuk Dibenar Mulakan Semakan Kehakiman Diputus Pada 5 Nov

07/10/2025 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 Nov untuk memutuskan permohonan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita dan membekukan akaun bank mereka.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan, yang mewakili Peguam Negara, dan peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar bagi pihak Daim serta keluarganya.

Terdahulu, Gurdial berhujah bahawa pemohon telah membuktikan kes prima facie iaitu responden menyalahgunakan kuasa mereka apabila menggunakan pelbagai akta bagi melanjutkan tempoh sitaan dan pembekuan harta pemohon tanpa had masa yang jelas, melangkaui kuasa yang diberikan kepada mereka untuk menjalankan siasatan.

"Terdapat isu-isu jelas yang boleh dibicarakan dan memerlukan hujahan lanjut kedua-dua pihak… oleh itu, kebenaran perlu diberikan selagi permohonan tidak bersifat remeh atau mengganggu," katanya.

Sementara itu, Nurhafizza berhujah penyitaan tersebut adalah satu pelaksanaan fungsi dalam proses siasatan jenayah dan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

"Pada asasnya, dakwaan pemohon hanyalah aduan bahawa penyitaan dan pembekuan akaun bank mereka dilakukan tanpa asas dan siasatan terhadap mereka didorong oleh motif politik serta bercampur niat jahat," katanya.

Nurhafizza juga berkata pemohon gagal mengemukakan bukti yang kukuh dan prima facie secara “tunggal yang membawa kepada kesimpulan yang tidak dapat dielakkan” bahawa dakwaan tersebut telah dibuktikan.

Dalam permohonan mereka yang difailkan pada 6 Jun 2024, Daim dan keluarga memohon perintah untuk mengetepikan tindakan SPRM dalam menyita dan membekukan aset mudah alih mereka mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Selain Daim, turut dinamakan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid serta empat anak mereka iaitu Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Sebanyak 18 syarikat juga dinamakan sebagai pemohon iaitu Aad Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd,  Syarikat Maluri Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Semua pemohon menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM Haris Fadhila Sukaime, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga keenam.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan penyitaan harta alih yang dikenakan SPRM mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA dan semua tindakan serta keputusan diambil responden pertama hingga keempat adalah tidak sah dan terbatal.

Sementara itu, Na'imah melalui afidavit sokongan mendakwa memandangkan tiada pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dikenakan sehingga hari ini, perintah penyitaan di bawah Seksyen 44 (5) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) akan tamat selepas 90 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan