Dua Rentung Kereta Terbabas, Terbakar Di Butterworth

04/10/2025 01:48 PM

BUTTERWORTH, 4 Okt (Bernama) -- Dua individu rentung selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan sebelum terbabas dan terbakar di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan di sini pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.09 pagi dan menggerakkan sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dengan anggaran peratusan kebakaran 80 peratus, dipercayai berpunca akibat kemalangan jalan raya.

“Terdapat dua mangsa didapati rentung dalam kejadian itu, namun identiti kedua-duanya belum dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Shoki berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan keadaan selamat manakala mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

Beliau memaklumkan mayat dibawa menaiki kenderaan polis ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan operasi tamat sepenuhnya pada 10.55 pagi.

Kes kemudian diserahkan kepada Pasukan Forensik Kebakaran (FIO) JBPM untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta sedang terbakar dipercayai akibat terbabas di Jalan Pekan Darat ke Sungai Lokan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan