Pelajar Jatuh Asrama Sekolah Di Sabak Bernam Dibenar Keluar Hospital - Polis

02/10/2025 07:08 PM

‎SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) -- Pelajar yang jatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam baru-baru ini telah dibenarkan keluar dari hospital pada 20 Sept lepas, kata kata Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.

‎Beliau berkata pihaknya masih belum merekodkan keterangan penuh pelajar terbabit bagi memberi ruang kepada proses pemulihan.

‎"Pelajar itu kini berada di rumah keluarganya di Sabak Bernam dan proses pemulihan semakin positif, sudah boleh berjalan dan bercakap tetapi tidak begitu lancar selain pemakanannya masih tidak teratur.

‎"Keterangan penuh belum diambil kerana kita dapati keadaan mental mangsa tak berapa pulih lagi kerana kecederaannya di kepala. Jadi kita ambil kaedah temu bual dahulu untuk tidak memberikan tekanan kepada pelajar itu," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

‎Shazeli berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan sedang menunggu maklum balas bagi tindakan susulan. 

‎Sebelum ini, Shazeli dilaporkan berkata polis mula memperoleh petunjuk yang boleh merungkai punca insiden tersebut dengan pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan setiap aspek diperhalusi sebelum sebarang rumusan dibuat. 

‎Media sebelum ini melaporkan lebih 12 saksi sudah dirakam keterangan termasuk pelajar serta kakitangan sekolah bagi membantu siasatan lanjut.

‎Dalam kejadian pada 24 Ogos lepas, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah menengah di Sabak Bernam.

‎-- BERNAMA‎

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan