GRO Salah Guna Pas Pembantu Rumah Elak Dikesan

02/10/2025 09:40 AM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Taktik sekumpulan wanita warga asing yang menyalahgunakan pas pembantu rumah untuk bekerja sebagai gadis pelayan (GRO) di pusat hiburan mewah sekitar Sri Hartamas terbongkar selepas mereka diberkas Jabatan Imigresen (JIM) dalam Ops Gegar, tengah malam tadi. 

Wanita asing berkenaan antara 41 individu berusia 20-an hingga 50-an yang ditahan dalam serbuan ke atas dua premis hiburan, melibatkan 39 warga asing dan dua lelaki tempatan yang disyaki pengurus premis hiburan terbabit.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi bermula 12.30 tengah malam itu dijalankan selepas risikan sebulan mendapati pusat hiburan terbabit menggaji pendatang tanpa izin dan pekerja asing yang melanggar syarat pas.

“Daripada 63 individu diperiksa, kita (JIM) menahan sembilan wanita warga Vietnam, 22 wanita Thailand, lapan lelaki Bangladesh serta dua rakyat tempatan. Sebahagian besar wanita ini menggunakan pas pembantu rumah tetapi menyalahgunakannya dengan bekerja sebagai GRO dan peneman minum pelanggan.

“Kita turut menemukan kalung harga (selempang yang tertera nilai yang mahu diberikan kepada GRO yang diminati) yang digunakan mereka untuk mengenakan caj antara RM100 hingga RM500,” katanya kepada pemberita selepas operasi di lokasi serbuan di sini hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua warga asing itu disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, tinggal lebih masa, serta gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

“Sebahagian masuk menggunakan pas pelancong tetapi melencong menjalankan kerja-kerja menyalahi undang-undang. Ada juga yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada pas atau dokumen perjalanan,” katanya.

Sementara itu, dua lelaki tempatan yang disyaki mengurus premis berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang tanpa izin serta Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi mereka.

“Sekali lagi saya ingin mengingatkan warga Malaysia agar tidak sesekali mengambil atau menggajikan pendatang asing tanpa izin. Ini adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan