GEORGE TOWN, 1 Okt (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjaya menembak sebanyak 1,132 ekor burung gagak dalam beberapa siri menembak yang dijalankan di bahagian pulau negeri itu, sepanjang bulan September.
MBPP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mendapatkan bantuan empat orang penembak daripada Kelab Menembak Pulau Pinang dalam operasi itu yang dilaksanakan mengikut prosuder operasi standard dan aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pihak polis.
“Gagak dikategorikan sebagai pest disebabkan sifatnya yang liar dan mengundang isu kebersihan, kacau ganggu, musim membiak bagi burung gagak adalah dari bulan Julai hingga bulan Disember.
“Pada tahun ini MBPP telah menjalankan operasi menembak gagak bermula dari bulan April bagi menggantikan operasi menembak gagak secara one-off, selain itu MBPP turut menjalankan kawalan perangkap gagak yang ditempatkan di 29 lokasi khusus yang telah dikenal pasti,” menurut kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.
Sementara itu, MBPP memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan tegas penguatkuasaan dan mengeluarkan kompaun terhadap sembilan individu di Jalan Perak, di sini yang didapati sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan untuk memberi makan kepada burung merpati di tempat awam, hari ini.
Menurut kenyataan itu tindakan penguatkuasaan di buat mengikut Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan serta tindakan mahkamah sekiranya individu tersebut masih ingkar tidak membayar kompaun untuk kesalahan tersebut.
“Walaupun MBPP telah melaksana hebahan dan pendidikan awam, namun masih lagi terdapat individu-individu yang tidak mengendahkan nasihat dan sengaja memberi makanan kepada merpati,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial