Polis Rampas 150 Kg Syabu Bernilai RM3.3 Juta Berhampiran Plaza Tol Damansara

01/10/2025 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Polis merampas 150 kilogram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM3.3 juta hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditinggalkan seorang lelaki berhampiran Plaza Tol Damansara, dekat sini, Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebelum itu, kira-kira 4 petang, Pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Tengah A1 telah mengarahkan MPV itu berhenti di KM18 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama.

“Dalam usaha melarikan diri, pemandu MPV itu merempuh palang tol sebelum meninggalkan kenderaan terbabit di lorong kanan Plaza Tol Damansara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan enam karung guni berwarna hijau dengan setiap satu mengandungi 25 peket bungkusan kecil bertulisan Cina “Chinese Pin Wei”, menjadikan jumlah keseluruhan 150 peket.

“Setiap peket dianggarkan seberat satu kilogram dan kesemuanya dipercayai mengandungi dadah jenis syabu,” katanya.

Mohd Yusri berkata kesemua rampasan termasuk kenderaan terbabit dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nor Izzat Norezairi melalui talian 016-828 9910 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan