KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pemasangan pagar automatik di pintu masuk negara di bawah seliaan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan dimulakan pada suku kedua tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata penggunaan teknologi itu dapat meminimumkan urusan fizikal di kaunter pintu masuk negara, sekali gus melancarkan proses dan membantu menangani isu integriti.
“Langkah itu merupakan inisiatif penting bagi memperkukuh kawalan sempadan, sekali gus mengekang aktiviti penyeludupan dan mengurus isu pelarian di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 8 dengan topik “Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik” yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam ini.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang memasang 635 pagar automatik di 123 pintu masuk di bawah AKPS.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata integriti adalah aspek paling penting yang tidak boleh dikompromi dalam usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata agensi penguatkuasaan di bawah KDN bertanggungjawab mengawal kawasan perairan negara seluas 600,000 kilometer persegi dan berdepan dengan pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan.
Antara ancaman itu ialah penyeludupan membabitkan dadah, senjata api, minyak masak, diesel dan petrol, selain kegiatan lanun, kemasukan pendatang tanpa izin serta pelarian.
“Rantau kita adalah hotspot untuk dadah sintetik dan 80 peratus daripadanya masuk melalui jalan laut. Kita tidak boleh terus melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang lebih baik. Oleh itu, kita perlu menerima pakai teknologi,” katanya.
Turut sama dalam forum itu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Ahmad Ramdzan Daud serta wakil Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Datuk Abdul Rahman Embong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial