Warga Kemboja Mengaku Guna Kekerasan Jenayah, Kata-kata Kesat Terhadap Petugas Batik Air

30/09/2025 02:48 PM

SEPANG, 30 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga Kemboja hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membabitkan kekerasan jenayah dan penggunaan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 Sept lepas.

Lin Weida, 41, seorang ejen pelancongan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan hukuman dijatuhkan esok kerana kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret. 

Weida didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai keselamatan Batik Air Sheikh Muhammad Syafiq Sh Khalid di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.50 malam 28 Sept lepas mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap kru kabin Batik Air Yuszai Yusof pada hari sama kira-kira 5.20 petang dalam penerbangan OD606 dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan