Ops Sapu: Imigresen Johor Tahan 104 Warga Asing

28/09/2025 08:51 PM

JOHOR BAHRU, 28 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 104 pendatang tanpa izin dalam Operasi Sapu yang dijalankan secara mengejut di sekitar kawasan setinggan di sini awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Johor Datuk  Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi yang bermula 2 pagi itu melibatkan 121 pegawai dan anggota penguat kuasa pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan negeri dan cawangan, selain tiga pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata operasi itu dijalankan hasil risikan serta aduan awam mengenai kehadiran PATI di kawasan berkenaan.

"Semasa serbuan, puluhan warga asing pelbagai warganegara dilaporkan terkandas apabila cubaan melarikan diri gagal selepas kawasan berkenaan dikepung sepenuhnya oleh anggota penguat kuasa.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, 44 wanita dewasa serta enam kanak-kanak perempuan warganegara Indonesia, selain seorang wanita dewasa warganegara Filipina.

"Pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua tahanan berusia antara dua bulan hingga 63 tahun itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan